OPRAH Winfrey mengesat air mata apabila seorang demi seorang selebriti memeranjatkannya pada rakaman dua episod ‘Selamat Tinggal’ yang mendahului episod terakhirnya.....
“Terima kasih tidak cukup, tetapi apa lagi yang boleh saya cakapkan selain ‘terima kasih,’” kata Oprah kepada 13,000 orang yang berkumpul di United Center, Chicago untuk acara "Surprise Oprah! A Farewell Spectacular." Penonton berdiri untuk memberi tepukan apabila Oprah berjalan ke pentas. Kemudian muncul pula satu per satu bintang undangan, sebagai memenuhi janji penerbit Oprah mengenai kehadiran sejumlah besar selebriti ternama filem, muzik dan televisyen.
Aretha Franklin menyanyikan lagu 'Amazing Grace.' Tom Hanks bertindak sebagai hos untuk malam itu. Michael Jordan, yang mengetuai pasukan bola keranjang Chicago Bulls untuk menjuarai kejohanan NBA enam kali sepanjang 1990-an memberitahu Oprah bahawa dia menjadi inspirasinya. Tom Cruise yang terkenal kerana melompat di atas kerusi ketika dalam rancangan Oprah juga hadir. Kemunculan pelawak, Jerry Seinfeld yang lengkap berpakaian tuxedo membuat penonton tidak kering gusi. Dan Madonna memberitahu Oprah, dia adalah antara jutaan orang yang mendapat inspirasi daripada wanita itu.
"Dia memperjuangkan apa yang dipercayainya walaupun ia membuatnya tidak popular," kata Madonna.
Oprah mengumumkan pada November 2009 lalu bahawa dia akan mengakhiri rancangan sembang popularnya selepas 25 tahun. Rakaman minggu lalu disiarkan semalam dan malam ini sebelum diikuti dengan siri akhir rancangan pada 25 Mei.
"Anda sentiasa berpengaruh dan itu yang ditanamkan dalam kehidupan kami," kata Cruise kepada Oprah.
Josh Groban dan Patti LaBelle menyanyikan lagu 'Somewhere Over the Rainbow' ketika Oprah duduk di atas kerusi di atas pentas. Jamie Foxx dan Stevie Wonder pula menyanyikan lagu 'Isn't She Lovely' untuk wanita itu. Simon Cowell juga hadir dan Rosie O'Donnell menyanyikan lagu ala Broadway.
Teman Oprah, Stedman Graham, menyatakan secara terbuka perasaan cintanya terhadap wanita itu dan berkata, dia bangga mengenali Oprah.
Maria Shriver, wartawan tv yang juga waris keluarga Kennedy, muncul pada hari yang sama suaminya didedahkan mempunyai anak haram dengan seorang pembantu rumah lebih 10 tahun lalu. Maria tidak menyebut mengenai suaminya pada rancangan itu.
"Anda memberi kasih sayang, sokongan dan kebijaksanaan kepada saya dan yang paling penting, kebenaran. Dan saya tahu bukan saya seorang yang menerima hadiah itu daripada anda," kata Maria.
Rakaman pertunjukan kedua bermula dengan Will Smith dan isteri, Jada Pinkett Smith, mengucapkan terima kasih kepada Oprah dan memberitahunya, dia umpama ibu kepada berjuta-juta kanak-kanak.
Aktres Halle Berry, Queen Latifah, Katie Holmes dan Dakota Fanning juga hadir bersama-sama penyampai berita Diane Sawyer. Beyonce menyanyikan lagunya, 'Run the World (Girls)' dengan diiringi puluhan penari. Rascal Flatts juga membuat persembahan.
"Oprah Winfrey, kerana anda ramai wanita berjaya meningkatkan tahap kefahaman mengenai siapa diri kami dan paling penting, apa yang boleh kami capai," kata Beyonce.
Stadium itu dihiasi dengan gambar Oprah, dari mula dia memulakan rancangan sembangnya 25 tahun lalu. Harpo Productions menerima 154,000 permohonan tiket untuk rakaman itu. Ia diedarkan secara percuma.
Oprah juga menerima mesej daripada peminatnya yang kurang terkenal. Anggota tentera wanita Amerika menghantar rakaman mesej dari Iraq dan tiga peminatnya dari negara luar juga muncul di atas pentas. Rancangan itu diselang-selikan dengan klip peminat Oprah serta imbas kembali episod lama.
Peminat berbaris di luar stadium berjam-jam sebelum rakaman bermula.
Bessie Carroll, 70, dari Chicago datang untuk menyaksikannya bersama-sama anak perempuannya.
"Bagi saya, kita sudah memperoleh lebih daripada yang sepatutnya daripada Oprah. Jika dia merasakan sudah tiba masanya untuk dia berundur, kita relakan hasratnya. Biar dia menikmati kehidupannya," kata wanita itu.
Mashonda White, 41, jurutera dari Aurora, Oprah sebagai satu inspirasi. "Dia tidak pernah menerima sesuatu dengan perasaan negatif. Dia sentiasa positif," kata Mashonda.
Selebriti seperti Lisa Ling, Carson Kressley, Jessica Seinfeld, Ally Wentworth, Bob Greene dan bekas Datuk Bandar Chicago, Richard Daley turut hadir menonton rakaman itu.
p/s:Oprah Winfrey adalah sumber inspirasi Krew Biar Betul Nie Network kerana beliau banyak menyumbang untuk menjadikan dunia kita tempat yang paling aman dan harmoni.
No comments:
Post a Comment